DAP menggesa supaya Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), sehingga 25 mata asas (bps) daripada 2.25 peratus kepada 2.5 peratus.
Pengerusinya Lim Guan Eng, berkata BNM dijangka menaikkan OPR itu pada minggu ini, kononnya bagi membendung kenaikan harga dan inflasi serta mengawal penyusutan nilai ringgit yang laju.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, usaha BNM sebelum ini dalam menaikkan OPR dilihat tidak memberi kesan kepada kadar inflasi dengan indeks harga pengguna meningkat 4.4 peratus pada Julai berbanding 3.4 peratus pada Jun 2022.
“Menaikkan kadar faedah tidak mempunyai kesan ke atas kenaikan harga, terutamanya kerana ini bukan disebabkan oleh permintaan yang berlebihan (inflasi tarikan permintaan), jadi kenaikan OPR tidak akan mengurangkan permintaan.
“Inflasi global adalah tolakan kos, disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan akibat sekatan yang dikenakan berikutan perang Ukraine-Rusia dan kawalan pergerakan Covid-19 di China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, menaikkan OPR juga akan menjadi tamparan yang memalukan oleh BNM terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, yang mendakwa inflasi dan kenaikan harga makanan perlahan-lahan semakin terkawal.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kenaikan OPR tidak memberi kesan positif terhadap sokongan Ringgit Malaysia (RM) dalam pasaran mata wang.
“Ringgit Malaysia menghampiri paras terendah dalam tempoh 24 tahun apabila berada pada RM4.50 kepada dolar Amerika Syarikat (AS); RM3.25 kepada dolar Singapura dan Rupiah Indonesia telah mengukuh sebanyak tiga peratus tahun ini berbanding Ringgit Malaysia.
“Jika tujuan jangkaan kenaikan 25 mata asas ini adalah untuk meningkatkan nilai Ringgit Malaysia berbanding dolar AS, ini adalah sia-sia kerana BNM tidak boleh bersaing dengan kenaikan kadar faedah yang lebih agresif oleh Rizab Persekutuan AS,” katanya.
Guan Eng berkata, daripada mengekang inflasi dan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia, menaikkan OPR akan memberi kesan buruk kepada kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat, iklim pelaburan domestik dan pertumbuhan ekonomi negara pasca pandemik yang menghadapi tekanan daripada kenaikan harga.
“Peningkatan kadar faedah akan menambah kos pinjaman yang tidak diperlukan kepada individu ke atas rumah, kenderaan, kos perniagaan, aliran tunai peniaga dan kos dana pelabur.
“BNM dan kerajaan sepatutnya membantu perniagaan dan bukannya menyusahkan perniagaan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang bergelut untuk terus hidup dan memulihkan perniagaan mereka dalam persekitaran ekonomi yang sukar pasca Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

