Lufya sudah beri keterangan kes culik anak

0
2

SETELAH diasak berkenaan isu penculikan anaknya, pelakon Lufya Omar menafikan tidak memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa seperti yang dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Ianya berhubung kes dakwaannya mengenai cubaan menculik anak perempuannya, Laana Haura pada Jun lalu.

Bekas peserta Akademi Fantasia itu memaklumkan dia kesal dengan penyebaran berita tersebut dan menegaskan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan kes ini.

“Saya ada bukti sudah dua kali ke balai polis untuk memberikan kenyataan dan kerjasama. Jujur saya kecewa jadi sebegitu dan dilayan acuh tak acuh oleh pihak polis.

“Kali pertama saya datang buat laporan polis di Mutiara Damansara. Malah siap diambil gambar kesan luka saya dan disoal siasat dengan mereka lebih kurang tiga jam.

“Kali kedua saat hampir tiba ke balai polis di Petaling Jaya, pihak mereka terpaksa membatalkan temu janji kerana ada acara malam sebelumnya habis lewat.

“Malah alasan mesin fotostat turut diberi hingga segala urusan ditangguh. Tapi saya bukan mahu cari fasal dengan polis. Mereka boleh berurusan dengan saya tanpa membabitkan media.

“Kenyataan dikeluarkan media itu seolah-olah saya tak pernah datang ke balai polis untuk memberikan kerjasama. Saya mahu hal ini diselesaikan segera dengan pihak berkuasa tanpa perlu mendedahkan apa saja kelemahan terjadi,” katanya.

Jun lalu, Lufya dilaporkan cedera ketika bergelut dengan seorang lelaki dalam usaha menyelamatkan anak perempuannya daripada diculik di sebuah padang permainan di Kota Damansara.

Menurutnya, seorang lelaki berbadan besar memukulnya menggunakan batang kayu di kepala, badan serta menyebabkan kecederaan pada wajah dan badannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here