AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia, (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu berjaya menahan sebuah bot tunda bersama tongkang yang berisi muatan pasir berhampiran Tanjung Kidurong, Bintulu, Sarawak sekitar jam 11 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, berkata bot tunda dan tongkang berkenaan ditahan selepas gagal mempamerkan sebarang dokumen berkaitan vesel dan muatan disyaki pasir yang dibawa.
Menurutnya, turut ditahan kru bot tunda berkenaan selepas didapati permit kerja telah tamat tempoh dan tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati lima orang kru termasuk nakhoda adalah lelaki warganegara Indonesia, berusia dalam lingkungan 31 hingga 56 tahun.

“Terdapat muatan disyaki pasir dijumpai di atas tongkang semasa diperiksa. Kesemua kru beserta bot tunda dan tongkang ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman denda dan penjara jika disabitkan bersalah.
“Manakala kru yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana permit kerja telah tamat tempoh.
“Jika sabit kesalahan kru berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaysiapost
Kredit foto: Maritim Malaysia

