Bung Moktar sihat, kekal di posisi

0
1

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menafikan mengalami masalah kesihatan dan terlantar di hospital seperti berita yang tular di media sosial.

Dalam satu hantaran laman Facebook rasminya malam tadi, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Ketua Umno Sabah, mengesahkan kesihatannya baik dan cergas seperti biasa.

Beliau turut memuat naik beberapa gambar bagi menunjukkan keadaannya yang masih sihat dan bukan terlantar di hospital seperti yang ditularkan di media sosial.

“Kepada semua rakan-rakan dan juga musuh politik, jangan bimbang. Saya kekal di posisi yang tenang dan masih sihat dalam perlindungan Allah,” katanya.

Menerusi hantaran sama, beliau turut menyatakan akan bersama rakyat dan penyokong BN di Kota Belud pada 10 September ini untuk melancarkan program Gelombang Biru dan Jentera Pilihan Raya Kota Belud serta Tuaran.

Semalam, tular di media sosial mendakwa Bung Moktar sakit berdasarkan sekeping gambar menunjukkan beliau terlantar di katil hospital.

Gambar yang tersebar itu difahamkan adalah gambar lama ketika Ahli Parlimen Kinabatangan itu pulang daripada menjalani rawatan buah pinggang di China pada 2015 atau 2016.

Jumaat lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan Bung Moktar dan isteri, Zizie Izette Abdul Samad membela diri terhadap pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Rozina Ayob, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan berkenaan

Bung Moktar, 64, berdepan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta untuk mendapatkan kelulusan Felcra Berhad bagi membuat pelaburan sebanyak RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual.

Zizie, 44, pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam perkara itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here