PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpeluang menikmati donat istimewa daripada ‘wartawan cilik’ ketika menghadiri program Kenuri Rakyat di Padang Terap, Kedah, semalam.
Menerusi ciapan di Twitter, Perdana Menteri berkata beliau sangat teruja dapat merasakan sendiri donat yang dihasilkan Muhammad Haziq Mohd Asyraf, 12.
“Akhirnya dalam program Kenuri Rakyat di Padang Terap, sekali lagi saya bertemu dengan Haziq dan kali ini Haziq bawakan saya donat yang dia masak sendiri.
“Terima kasih Haziq. Sangat sedap donatnya. Semoga Haziq diberikan kejayaan di dunia dan akhirat,” ciapnya.
Ismail Sabri berkata, sebelum ini beliau sudah banyak kali bertemu dengan kanak-kanak itu yang sebelum ini tular dengan video ‘ular besar’.
“Dah banyak kali saya terserempak dengan Haziq, kanak-kanak berbakat besar yang tular dengan video ‘ulaq besar’.
“Haziq berjanji nak masak donat kat saya kerana dia sangat gemar memasak dan bercita-cita nak jadi chef,” katanya.
Haziq, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau, Kedah, menjadi popular apabila video kepetahannya melaporkan penemuan seekor ular sawa di pasar awam pada 24 Januari lalu secara langsung di Facebook menjadi tular. – Malaysiapost

