UMNO menegaskan tiada sebarang rundingan dengan PAS seperti didakwa Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tidak “perundingan dalam gelap” dengan parti itu dan jika ada ia perlu berjalan secara telus dan menerusi mesyuarat.
“Tidak tahulah beliau berunding dengan siapa, tetapi dengan saya memang tiadalah,” Mohamad kepada media.
Mohamad ataupun lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata demikian selepas menghadiri program Semarak Merdeka di Kuala Sawah, Rantau, Seremban, hari ini.
“Janganlah kita mahu mengadu domba parti orang lain, jaga parti sendiri. Saya jaga parti saya, beliau jaga parti beliau.
“Apa sahaja perundingan, mesti transparent (telus), jangan berunding dalam gelap, tidak boleh begitu,” katanya lagi.
Terdahulu, Abdul Hadi dalam sidang media selepas perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-68 di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar, Kedah berkata, rundingan antara Umno dan PAS ketika ini masih berjalan melibatkan pimpinan kedua-dua parti hingga ke peringkat akar umbi.
Bagaimanapun presiden PAS itu menegaskan rundingan tersebut tidak melibatkan pemimpin utama Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ditanya mengenai sikap yang dinyatakan Presiden Umno berkali-kali sebelum ini, Abdul Hadi berkata, pendirian tersebut adalah hanya melibatkan Ahmad Zahid semata-mata.
Ahli Parlimen Marang itu turut mendakwa, Umno bukan hanya diwakili oleh presiden parti itu seorang tetapi melibatkan sebuah organisasi.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sehingga kini beliau tidak mengetahui sekiranya ada Presiden Umno mengutuskan mana-mana pemimpin parti itu untuk berunding dengan PAS.
“Kalau presiden sudah turunkan kuasa kepada sesiapa untuk berunding, ia dibuat secara terang dalam mesyuarat.
“Misalnya saya, jawatankuasa perunding untuk kerusi, memang diputuskan dalam Majlis Tertinggi, saya (sebagai) Pengarah Pilihan Raya juga diputuskan,” katanya.- Malaysiapost

