DIVIDEN tambahan RM25 bilion dibayar Petronas kepada kerajaan tahun ini adalah jauh berbeza berbanding terimaan dividen khas RM30 bilion pada zaman Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurutnya, keuntungan bersih Petronas pada 2019 hanyalah RM40.5 bilion dan apabila kerajaan PH mengambil dividen sebanyak RM24 bilion dan tambahan RM30 bilion pada tahun itu, ia menyebabkan syarikat berkenaan mengalami defisit.
“Berbeza pada tahun ini yang mana keuntungan bersih Petronas dijangka mencecah RM80 bilion.
“Jadi kalau Petronas bayar RM50 bilion dividen sekalipun (termasuk RM25 bilion dividen awal yang sudah diumum), akaun Petronas masih lagi surplus (lebihan) RM30 bilion,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi menjawab isu dibangkitkan Ketua Pemuda PKR, Adam Adli yang mempersoalkan kenapa beliau dan Pemuda Umno tidak bersuara apabila Petronas mengumumkan tambahan dividen RM25 bilion kepada kerajaan bagi tahun ini.
Beliau berkata, tindakan kerajaan PH yang mengambil wang rizab Petronas (bukan keuntungan) sehingga kedudukan kewangannya mengalami defisit itu yang disanggah pihaknya.
“Mungkin Adam Adli tidak sedar ia adalah punca mengapa agensi penarafan menurun taraf Petronas pada tahun tersebut disebabkan tindakan ini,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, tindakan PH itu sebenarnya berpunca dari kesilapan mereka sendiri.
“Sekiranya PH tidak mengambil langkah populis menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) secara mengejut tanpa sebarang penggantian cukai lain, sudah tentu tidak timbul isu kekangan kewangan kerajaan pada ketika itu.
“Namun, ia berbeza pada hari ini. Pada hari ini keperluan kerajaan adalah untuk mengawal inflasi. Masalah inflasi ini adalah masalah seluruh dunia disebabkan gangguan bekalan.
“Dan cara paling berkesan adalah dengan menyalurkan subsidi bersasar kepada barangan asas dan utama,” katanya.
Beliau akan menerangkan lebih lanjut dalam hantaran lain mengenai bagaimana kaedah menyalurkan subsidi bersasar adalah lebih baik daripada menaikkan kadar faedah (OPR) sepertimana yang sedang dirancang oleh Bank Negara Malaysia.
“Apapun saya ucapkan terima kasih kepada Adam kerana mengambil berat setiap pandangan Pemuda Umno.
“Jangan bimbang, Pemuda Umno sentiasa istiqamah menjadi pengkritik dan agen semak dan imbang ‘check and balance’ kepada kerajaan sepertimana peranan kami sebagai juru bicara rakyat,” katanya. – Malaysiapost

