2 pelatih AMD tarik perhatian kelab Eropah

0
1

Ben Ibrahim

DUA pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bakal mengikuti jejak Luqman Hakim Shamsudin untuk beraksi dalam saingan bola sepak profesional di Eropah.

Haykal Danish dan Rohisham Haikal, kedua-duanya berusia 17 tahun, menarik perhatian kelab Luxembourg, Racing FC dan jika semuanya berjalan mengikut perancangan, mereka akan ke sana Disember ini.

Haykal dan Rohisham adalah generasi AMD tahun 2005.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker ketika melakukan lawatan ke AMD, hari ini.

Beliau berkata, Haykal dan Rohisham berjaya menarik perhatian pasukan pencari bakat dari kelab itu selepas menghadiri percubaan dengan kelab terbabit pada 2 dan 19 Jun lalu.

“Mereka bersama seorang lagi pelatih AMD, Abu Khalil menyertai ‘selection’ dengan pasukan divisyen dua Perancis, FC Annecy dan Racing FC dan Racing ada menulis surat kepada AMD baru-baru ini menyatakan minat untuk menandatangani Haykal yang bermain di posisi tengah dan Rohisham pemain sayap.

“Perbincangan lanjut sedang dilakukan oleh AMD dan pihak pengurusan Racing,” katanya.

Lian Ker berkata berita itu sangat positif untuk perkembangan bola sepak negara memandangkan hampir dua tahun pelatih AMD tidak berpeluang menyertai pemilihan dengan kelab luar negara akibat Covid-19.

Difahamkan awal Jun lalu, ketiga-tiga pemain remaja itu menjalani pemilihan dengan diiringi pengarah teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Saad Ichalalene dan jurulatih pasukan Bawah 17 AMD, Amarul Naza Mohamad.

Haykal dan Rohisham pernah beraksi untuk pasukan Bawah 13 Tahun Paris Saint-Germain dalam kejohanan Giuseppe Augello V Memorial International di Rom pada 2018 manakala Abu adalah pemain utama pasukan Piala Presiden AMD musim ini.

Sementara itu, Ti berkata AMD mencapai sasaran 100 peratus kebolehpasaran pelatihnya dan 117 pemain akademi itu berjaya menandatangani kontrak sebagai pemain profesional dengan pasukan Liga Malaysia, selain Luqman Hakim yang sebelum ini beraksi di Eropah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here