MetMalaysia ramal banjir besar hujung November ini

0
1

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini.

Keadaan itu akan membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan sama, lapor Berita Harian.

Ini kerana cuaca ketika itu dijangka memberi impak lebih signifikan berikutan Monsun Timur Laut yang aktif, iaitu risiko hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Menurut Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan, menyebabkan peningkatan taburan hujan.

Katanya, METMalaysia meramalkan, sepanjang Oktober risiko bencana cuaca hanya melibatkan hujan ribut petir yang berpotensi menghasilkan angin kencang, hujan lebat dan banjir kilat dalam tempoh singkat dan berskala kecil.

Katanya, kebanyakan tempat dijangka menerima taburan hujan normal sahaja dalam tempoh tersebut.

“Jika Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan pada awal November, kemungkinan banjir besar berlaku adalah kurang. Bagaimanapun, mulai pertengahan November ada kemungkinan banjir besar berlaku terutama penghujung November.

“Namun jika PRU dilaksanakan pada Disember, cuaca yang berlaku dijangka memberi impak lebih signifikan kerana angin Monsun Timur Laut aktif pada tempoh itu, di mana risiko untuk berlaku hujan lebat berterusan dan banjir besar berskala besar adalah tinggi,” katanya.

Tambah Muhammad Helmi, kebiasaannya bermula akhir September hingga awal November negara akan mengalami fasa peralihan monsun.

“Dalam tempoh ini lazimnya cuaca di seluruh negara adalah baik pada waktu pagi. Manakala pada sebelah petang hingga awal malam, ribut petir lebih kerap berlaku terutama di negeri-negeri pantai barat serta pedalaman Semenanjung, Sarawak (barat dan tengah) dan barat Sabah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here