
GERAKAN Tanah Air (GTA) kekal dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya berkata buat masa ini gabungan itu tidak bercadang bekerjasama dengan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ini kerana katanya, krisis politik di Malaysia bermula dengan pengkhianatan Muhyiddin yang membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH), sekali gus menyebabkan kerajaan yang dipilih rakyat pada PRU14 lalu tersungkur.
Justeru, Marzuki yang juga Timbalan Presiden Parti Pejuang, melihat sukar untuk GTA yang membawa aspirasi baharu kepada orang Melayu untuk menjalin kerjasama dengan Muhyiddin dan PN.
“Sebelum ini, (Pengerusi GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad jelas memaklumkan bahawa segala masalah dalam negara, dilakukan oleh Muhyiddin dan PN.
“GTA sebagai satu inspirasi baharu dalam perjuangan orang Melayu sudah pasti tidak akan bersama dengan parti sebegini.
“Tun sudah buat kenyataan jelas bahawa masalahnya adalah Muhyiddin. Saya tak rasa GTA akan menjalin hubungan dengan PN buat masa ini,” katanya memetik laporan BH.
Marzuki berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan Muhyiddin baru-baru ini, yang menggesa pembangkang membuka pintu rundingan dengan PN jika berhasrat menumbang BN pada PRU15.
Presiden Bersatu itu turut menyatakan pendirian terbuka untuk bekerjasama dengan GTA memandangkan beliau pernah bertemu Dr Mahathir untuk mengusulkan kerjasama kedua-dua pihak, namun tiada sebarang keputusan dibuat sehingga kini. – Malaysiapost
