RUU 355 modal propaganda PAS menjelang PRU15

0
1
Kredit: Harakah Daily

PAS perlu berhenti mempolitikkan cadangan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) atau RUU 355 menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Danish Hairudin, berkata motif sebenar PAS adalah untuk kepentingan politik dan RUU 355 digunakan sebagai alat propaganda politik parti itu.

“Jika benar-benar PAS ikhlas dan yakin bahawa isu RUU 355 sebagai keperluan penting perundangan dan isu substantif, sudah pasti kerajaan yang dianggotai PAS hari ini akan mengambil inisiatif memindanya.

“PAS hanya akan berbicara mengenai RUU 355 ini apabila menjelang Pilihan Raya. Rakyat usah terpengaruh dengan politik usang PAS dan rakyat perlu segera kembali fokus kepada usaha menolak penguasa politik yang rasuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang menyatakan parti itu sedang mempergiat usaha menyediakan draf RUU 355 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.

“Apa PAS buat setelah lebih dua tahun menjadi Kerajaan Persekutuan? Hanya menyediakan deraf sahaja? Tiada sebarang halangan untuk PAS tidak melaksanakannya kerana PAS sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Pada masa sama, Danish membidas sikap membisu PAS yang tidak memberi kenyataan mengenai bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun sejak 23 Ogos lalu.

“PAS sehingga ke hari ini masih berdiam diri tentang kes yang melibatkan Najib yang telah didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah dan terdapat beberapa orang pemimpin kerajaan yang telibat dalam salah laku rasuah.

“Mereka tidak amanah, tidak kompeten, jenis balun, boros dan bolot kekayaan negara. Apa komen PAS? PAS hanya diam membisu.

“Kita harus hentikan daripada dipermain dan diperbodohkan dengan polemik RUU 355 ini oleh golongan yang mahu mengekalkan kuasa dan mereka yang menyokong penguasa politik yang rasuah dan tidak amanah,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here