MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan Kerajaan Perancis meletakkan keutamaan tertinggi untuk meneruskan dan menyiapkan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu dinyatakan menerusi pertemuan beliau bersama pihak kerajaan Perancis.
“Pertemuan bersama pihak kerajaan Perancis memberi tumpuan terhadap komitmen antara kerajaan kedua-dua negara berhubung perolehan LCS.
“Seperkara yang cukup penting, kerajaan Perancis sendiri menyatakan bahawa meneruskan dan menyiapkan LCS adalah keutamaan tertinggi kerajaan Perancis,” katanya menerusi Facebook.
Hishammuddin berkata, ia adalah perkembangan yang mustahak terutama di fasa mobilisasi enam bulan seperti diputuskan Jemaah Menteri, April lalu.
“Malah komitmen kerajaan Perancis ini juga selari dengan syor beberapa pihak terutama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta keputusan Jemaah Menteri supaya projek LCS diteruskan demi kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia,” katanya.
Sementara itu, wakil kerajaan Perancis dalam ucapannya memaklumkan pihaknya teruja untuk meneruskan semua kerjasama antara kedua-dua negara di dalam pelbagai bidang yang dibincangkan termasuk di luar kementerian.
“Kami bertekad untuk bantu sebaik mungkin dan menjemput Datuk Seri (Hishammuddin) jika perlu.
“Kami akan usahakan projek LCS dan projek-projek lain,” katanya.
Sebelum ini, Hishammuddin memberi jaminan LCS yang pertama dijangka siap sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun hingga dua tahun lagi.
Jelasnya, beliau sendiri akan memaklumkan kepada orang ramai berhubung jadual berperingkat kapal-kapal yang telah dijanjikan kepada TLDM di samping kepada Kabinet. – Malaysiapost

