Larang individu didakwa di mahkamah bertanding pilihan raya

0
2

KERAJAAN dicadang mengetatkan syarat kelayakan calon pilihan raya termasuk melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan dan rasuah daripada bertanding.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya, berkata pihaknya berpandangan individu berkenaan tidak wajar diberi peluang untuk bertanding kerana bimbang mereka akan menyalahgunakan kedudukan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan sekiranya memenangi pilihan raya.

“Dalam aspek ini, kita mengharapkan agar kes-kes melibatkan rasuah dan salah laku pemimpin parti politik dapat disegerakan perbicaraannya di mahkamah supaya proses pembersihan pemimpin politik dapat dilakukan dengan efektif.

“Kita semua perlu mengangkat semula maruah demokrasi dalam negara selaras dengan prinsip Islam,” katanya.

Ahmad berkata, individu yang pernah mengeluarkan kenyataan menggugat keharmonian negara serta mempertikaikan hak-hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan turut wajar digugurkan kelayakan bertanding pilihan raya.

Beliau berkata, cadangan menetapkan setiap syarat kelayakan itu bagi memperkasa integriti calon dan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya, sekali gus bergerak ke arah kematangan demokrasi.

“Kita mengharapkan agar amalan demokrasi terus subur dan bersih daripada budaya rasuah dan salah laku yang sehingga akhirnya mengorbankan kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut meminta kerajaan menyegerakan penggubalan akta pendanaan politik bagi membanteras budaya politik wang dalam kalangan parti politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here