KERAJAAN telah melaksanakan pelbagai program pembangunan mencecah RM2 bilion di Kedah terutamanya di kawasan luar bandar di negeri itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata masyarakat luar bandar termasuklah di Kedah seharusnya bersyukur dengan pembangunan luar bandar yang semakin rancak dilaksanakan.
“Secara keseluruhan, kerajaan melalui KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) dan KEDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah) telah melaksanakan pelbagai projek atau program pembangunan mencecah hampir RM2 bilion di Kedah terutamanya kawasan luar bandar.
“Tahniah saya ucapkan kepada KPLB dan agensi-agensi di bawahnya termasuk KEDA, FELCRA, RISDA, KEMAS dan MARA yang terus-menerus menyumbang bakti dalam memastikan agenda pembangunan luar bandar dilaksanakan dengan jayanya.
“Saya gembira melihat pelbagai projek pembangunan di Daerah Padang Terap ini berjaya meningkatkan keselesaan dan taraf hidup para penduduk di sini. Usaha berkenaan telah menampakkan hasil yang begitu membanggakan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Kenuri Rakyat Keluarga Malaysia di Padang Terap, Kedah, hari ini.
Menjelaskan mengenai pembangunan di Padang Terap, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah membangunkan projek berimpak tinggi nasional dan taman perindustrian berasaskan produk getah yang dikenali sebagai projek Kedah Rubber City (KRC).
“Pada Februari lepas, saya telah merasmikan KRC dibangunkan di daerah Padang Terap, melibatkan keluasan tanah kira-kira 1,244 ekar dalam dua fasa pembangunan.
“Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), sebagai agensi pelaksana, juga komited untuk terus menyumbang dan memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Kedah amnya dan Daerah Padang Terap khususnya melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti KRC.
“Pembangunan ini telah berjaya menarik kemasukan pelaburan swasta berjumlah RM3.1 bilion dan mewujudkan sebanyak 830 peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, NCIA juga berjaya melaksanakan pelbagai program pembangunan modal insan bersepadu berteraskan rakyat di Padang Terap sekali gus memberikan limpahan manfaat kepada seramai 2,236 ahli Keluarga Malaysia di daerah ini.
Selain melaksanakan projek pembangunan, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan juga melabur dalam pembangunan modal insan dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa terutamanya di luar bandar.
“Sebagai contoh, mengadakan 47 Taman Bimbingan Kanak Kanak dan 11 Taman Asuhan Kanak-kanak di Padang Terap.
“KEMAS turut menawarkan pelbagai kelas-kelas kemahiran seperti kelas komputer, jahitan, masakan dan bina insan yang memberi manfaat yang besar kepada golongan belia di daerah Padang Terap ini.
“Penyedia program pembangunan modal insan seperti MARA turut mengadakan pelbagai kursus kemahiran di sini melalui GIATMARA Padang Terap.
Di samping itu, menurut Perdana Menteri, penyediaan akses pendidikan berkualiti di peringkat matrikulasi dan asasi melalui program menaik taraf infrastruktur orang kelainan upaya (OKU) di Kolej MARA Kuala Nerang, dijangka akan memberi manfaat kepada 100 pelajar OKU. – Malaysiapost

