Kes Rosmah: Akaun Facebook Maszlee dapat amaran Meta

0
2

AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mendakwa akaun rasmi Facebooknya telah diberi amaran oleh Meta hari ini, susulan laporan palsu dibuat pihak tertentu bertujuan untuk menyahkan hantarannya di aplikasi media sosial tersebut.

Maszlee berkata, perkara itu diyakini berlaku selepas Datin Seri Rosmah Mansor didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi semalam atas kes rasuah membabitkan projek solar hibrid di Sarawak.

Malah, bekas Menteri Pendidikan ketika zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau juga yakin ia angkara permainan jijik pendokong kleptokrat.

“Permainan jijik para pendokong perasuah dan kleptokrat. Setelah penjenayah yang menjarah hak pendidikan anak-anak Sarawak didapati bersalah semalam hasil laporan KPM pada tahun 2018, hari ini FB saya telah diberikan amaran dari Meta.

“Laporan palsu telah dibuat untuk menyahkan kiriman di laman FB saya,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, Maszlee berharap rakyat Malaysia bersatu hati dalam memerangi rasuah, kleptokrasi dan penjenayah elit yang merosakkan pendidikan anak-anak bangsa kehidupan mewah mereka.

Difahamkan, hantaran yang dimaksudkan Maszlee itu adalah berkaitan video sidang medianya yang mendedahkan mengenai penyelewengan solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta terhadap Rosmah.

Isteri bekas Perdana Menteri itu dikenakan hukuman berkenaan selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here