MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa ramai pengundi dan penyokong parti itu masih sukar menerima logo Perikatan Nasional (PN) yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, perwakilan Pemuda PAS perlu mengusulkan penggunaan logo parti di peringkat muktamar supaya dipertimbangkan pucuk pimpinan parti di peringkat pusat.
Malah, katanya, warna biru yang digunakan PN seakan-akan warna Barisan Nasional (BN).
“PAS telah mohon untuk tukar logo sebab warna biru PN banyak orang PAS alergi. Orang alergi dengan warna logo PN yang warna sama dengan BN.
“Patutkah kita biarkan perkara itu atau kita ambil tindakan memperbetul keadaan? Jadi boleh diambil tindakan untuk diperbetulkan,” katanya seperti dilapor Utusan Online ketika berucap di Muktamar Pemuda Pas Ke-63 malam tadi.
Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa partinya secara dasarnya bersetuju untuk menggunakan lambang PN pada PRU15.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS memberi contoh bahawa PAS Kelantan dan Terengganu sudah pun menyatakan hasrat mahu menggunakan logo parti.
“Kalau di tempat lain setuju, orang Kedah nak minta pakai logo PAS juga,” katanya.
Muhammad Sanusi juga menyelar alasan yang dikemukakan oleh komponen parti lain untuk menggunakan logo PN.
“Alasan diberi rakan kita, mereka dah cetak bahan kempen…siapa suruh? Adakah kita suruh depa? Tak ada,” katanya. – Malaysiapost

