Umno, BN kena menang besar PRU15 bukti tidak sia-siakan pengorbanan Najib

0
2

UMNO tidak boleh mensia-siakan pengorbanan yang ditabur bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap perjuangan parti itu selama ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu mempamerkan semangat jitu dan mengangkat aspirasi yang ditinggalkan bekas presiden itu sekali gus mencipta kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, tiada cara lain untuk membuktikan Umno dan BN tidak mensia-siakan pengorbanan Najib selain memastikan menawan kembali Putrajaya dengan kemenangan pada PRU15.

“Solidariti itu antara lain ialah kita bersama dalam susah dan senang, bersama dalam ceria dan duka. Dalam isu terkini, kita berdukacita terhadap apa yang berlaku kepada bekas Presiden, bekas Perdana Menteri, penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita berdukacita kerana pada pandangan kita, beliau tidak diberi proses keadilan yang sewajarnya. Oleh itu, semangat ‘Bossku’ perlu diteruskan dalam perjuangan Umno dan BN. Jangan kita sia-siakan pengorbanan beliau masuk dalam penjara.

“Maka, sebagai kaedah untuk kita tidak mensia-siakan pengorbanan beliau, adalah penting untuk kita memastikan Umno BN menang besar pada PRU15,” katanya dipetik Umno Online.

Najib kini menjadi menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah terlibat dalam penyalahgunaan dana SRC International.

Pada masa sama, Ahmad yang merupakan Ahli Parlimen Pontian berkata, sesi libat urus bersama Umno Bahagian di setiap negeri telah memberi peluang kepada setiap Bahagian untuk melontarkan cadangan serta menerima komen yang membina daripada panel ibu pejabat.

“Saya telah pergi ke 12 negeri untuk sesi libat urus ini. Hanya tinggal sebuah negeri sahaja lagi iaitu Sabah. Pada pandangan saya, proses yang dilakukan dalam sesi ini memberikan satu peluang kepada sepuluh pimpinan utama bahagian untuk menyatakan apa sahaja dan panel daripada ibu pejabat akan memberikan komen serta cadangan yang membina.

“Ini adalah bagi memastikan satu tempat yang kalah kita boleh menangkan, satu tempat yang sudah menang kita tambah majoriti dan satu tempat yang susah nak menang, kita kurangkan kekalahan.

“Jadi, ia adalah satu proses yang sangat baik. Kita tidak buat sesi ini pada PRU ke-14, maka kita buat pada PRU-15 ini. Mudah-mudahan dengan kaedah yang begitu detail terhadap usaha kita ini akan membuahkan hasil yang baik iaitu kemenangan kepada Umno/BN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here