Bank tiada budi bicara, anak terpaksa sewa ambulans bawa ibu lumpuh baharui kad

0
1

MENYAYAT hati. Malaysia telah berada di tahun 2022 namun masih ada lagi Institusi kewangan yang tidak menggunakan budi bicara terhadap pelanggannya yang sedang ditimpa kesulitan.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga seorang wanita yang lumpuh seluruh badan terpaksa diusung menggunakan ‘stretcher’ untuk datang ke bank hanya semata-mata untuk memperbaharui kad banknya.

Perkongsian pengguna TikTok Nur Hatini ternyata meruntun hati netizen yang tidak percaya mengapa institusi kewangan berkenaan tidak mempunyai kaedah lain untuk memudahkan urusan pelanggannya yang sedang menderita sakit.

Dia berkata, ibunya adalah penerima pencen dan duit itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan keperluan lain bagi pesakit ‘bedridden’.

Dalam klip video itu, Hartini menjelaskan dia telah menghubungi pihak bank untuk bertanya mengenai prosedur bagi pesakit lumpuh.

Namun jawapan yang diterimanya amat mengecewakan apabila pihak bank tetap berkeras dan tidak mempunyai kaedah lain terhadap pelanggannya yang sakit untuk memperbaharui kad bank yang akan tamat tempoh.

Justeru, Hartini terpaksa menggunakan khidmat ambulans St John bagi memudahkan ibunya pergi ke bank berkenaan kerana ibunya tak boleh duduk jika menaiki kereta.

Tambahnya, dia perlu mengeluarkan kos sendiri menyewa khidmat ambulans demi menukar kad di bank.

Hartini berkata perkara yang menimpa ibunya itu amat mengecewakannya kerana seolah-olah bank tidak bertimbang rasa dan empati dengan keadaan ibunya yang lumpuh.

Tinjauan di ruang komen, rata-rata netizen mengecam bank berkenaan kerana tidak mempunyai alternatif lain untuk pelanggan yang menghadapi penyakit kritikal berurusan dengan mereka.

Malah terdapat netizen yang menyifatkan tindakan bank berkenaan tidak berperi kemanusiaan selain simpati terhadap Hartini dan ibunya yang terpaksa dibebani pertambahan kos lain untuk menyewa ambulans. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here