POLIS telah memulakan siasatan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung rakaman video ucapannya pada sesi taklimat khas Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Sabtu lalu.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata siasatan ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu pengunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Setakat ini polis menerima 12 laporan dan siasatan masih dijalankan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, Parti Amanah membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid dengan mendakwa dalam ucapannya, beliau secara terbuka dengan niat jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong.
Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Laporan dibuat Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan yang meminta polis menyiasat pihak bertanggungjawab memuat naik video taklimat Ahmad Zahid dan penganjur majlis. – Malaysiapost

