Laporan akhir kes kedaulatan Pulau Batu Puteh dibentang – Wan Junaidi

0
1

LAPORAN Akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemantauan, setelah dimuktamadkan pada 22 Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan akhir setebal hampir 500 muka surat itu diserah secara rasmi kepada Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Katanya, penyerahan itu diberikan kepada beliau yang turut mempengerusi Jawatankuasa itu, dengan disaksikan pegawai-pegawai kanan kementerian serta jabatan berkepentingan.

“Antaranya, Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Jabatan Peguam Negara dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, laporan akhir itu adalah suatu laporan bersifat bebas berasaskan pandangan dan pendapat pakar hasil analisa, penelitian dan pemerhatian Pasukan Petugas Khas sepanjang hampir sembilan bulan tempoh pelaksanaan iaitu mulai 9 November 2021 hingga hari ini.

Katanya, syor opsyen terbaik kerajaan mengenai hala tuju berhubung kes berkenaan yang dijelaskan melalui laporan khas itu adalah susulan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan (Application for Revision) dan Permintaan Tafsiran di International court of Justice (ICJ), The Hague belanda pada tahun 2018 terhadap keputusan penghakiman ICJ pada tahun 2008.

“Pelaksanaan Pasukan Petugas Khas ini merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.

“Lanjutan daripada ini, syor-syor Pasukan Petugas Khas akan diteliti secara mendalam dan terperinci dari semua aspek agar sebarang tindakan susulan kerajaan berkaitan isu ini memberikan impak yang positif kepada negara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan laporan akhir Pasukan Petugas Khas ini dijangka dibentang kepada Jemaah Menteri pada September 2022 sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 29 Oktober 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here