PEJABAT Perdana Menteri hari ini, menafikan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memakai gelang pengawasan.
Pejabat itu dalam kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri tidak diberikan gelang pengawasan berkenaan berdasarkan penilaian risiko yang dibuat pegawai KKM, Isnin lalu.
“Muhyiddin dinasihati menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan kendiri di rumah selama 14 hari menggunakan ‘home assessment tool’ dalam aplikasi MySejahtera.
“Sehubungan itu, beliau tidak dikehendaki oleh KKM untuk memakai gelang pengawasan,” kata kenyataan itu.
Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan keputusan ujian saringan pengesanan Covid-19 yang dilakukan kelmarin ke atas Perdana Menteri disahkan negatif, semalam.
“Selain itu, beliau juga telah melakukan tiga saringan ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September lepas dan didapati negatif.
“Bagaimanapun, Perdana Menteri dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala semasa dalam tempoh pemantauan tersebut,” katanya. -Malaysiapost

