Waspada laskar siber tanam kebencian pada kerajaan – Khairuddin

0
1

RAKYAT Malaysia perlu berwaspada dengan laskar siber Pakatan Harapan (PH) yang didakwa sedang menanam kebencian rakyat kepada kerajaan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Katanya, golongan itu menggunakan akaun Facebook palsu dengan setiap mereka bergaji penuh ribuan ringgit.

“Setiap seorang mempunyai puluhan malah ratusan akaun palsu.

“Kalau akaun pun palsu tentulah segala status mereka juga adalah palsu penuh penipuan. Mana mungkin diambil maklumat daripada sumber tak dikenali, hantu-hantu FB yang takut menzahirkan diri sendiri,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, laskar siber tersebut jarang membuat hantaran di status Facebook sendiri melainkan berulang kali menukar gambar profil.

“Kalau anda tidak percaya perhatikanlah komen-komen di bawah (pada hantarannya) nanti dan selidiki profil mereka.

“Jarang mereka membuat status di fb melainkan bertukar gambar profil berpuluh kali tetapi mereka masuk dalam komen-komen pimpinan PN dengan pelbagai ayat penuh maki hamun dan sindiran,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, individu itu bukanlah ramai sebaliknya menggunakan ratusan akaun Facebook palsu dan memenuhi ruangan komen.

Justeru, beliau mengajak pengikutnya untuk ‘menamatkan riwayat’ laskar siber itu.

“Ayuh tamatkan riwayat hantu-hantu Facebook ini. Anda boleh membalas komen mereka dengan perkataan ‘cybertrooper detected’,” katanya. – Malaysiapost.