Anwar minta rakyat bersatu, sokong petugas barisan hadapan

0
1

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap situasi semasa Covid-19 di negara ini.

Beliau seterusnya berharap dan menggesa rakyat Malaysia bersatu dan meningkatkan disiplin serta amalan kebersihan.

“Beri dukungan kepada barisan hadapan dengan mematuhi SOP ditetapkan sedari awal. Ini sahaja jalan dalam usaha menumpaskan wabak ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Presiden PKR itu turut menyatakan rasa terkesan dengan mangsa korban Covid-19 semalam yang turut melibatkan seorang bayi berusia setahun.

“Ini sangat menyayat hati tatkala keluarga tidak dapat menatap dan mengucup untuk kali terakhir.

“Takziah saya kepada keluarga semua mangsa korban Covid-19. Saya berharap kita akan terus kuat semangat dan bersatu melawan wabak ini,” katanya.

Semalam, seorang bayi perempuan berusia setahun antara empat korban akibat Covid-19 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi tersebut yang merupakan kes ke-12,432 dibawa untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan Covid-19 terhadap bayi berkenaan didapati positif,” katanya. – Malaysiapost