AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dijangka akan mengambil alih jawatan presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) sepenuhnya yang kini disandang Larry Sng pada Oktober ini.
Menurut laporan FMT yang memetik sumber, memaklumkan pengumuman itu akan dibuat pada Perhimpunan Agung Tahunan PBM.
“Ya, pengumuman akan dibuat ketika perhimpunan agung tahunan, ketika tu akan dibuat perubahan di mana Zuraida akan jadi presiden dan Sng timbalan presiden PBM,” katanya.
Sng menyertai PBM dan dilantik sebagai presiden pada Januari lalu.
Jun lalu, PBM mengumumkan keputusan untuk melantik Zuraida sebagai ‘Presiden pengganti’ parti itu.
Sng berkata, keputusan itu hasil persetujuan sebulat suara yang dicapai dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi parti berkenaan.
Zuraida kini diberi mandat mengetuai delegasi parti itu dalam pertemuan serta rundingan dengan pemimpin parti lain, terutama perbincangan membentuk kerjasama politik.
PBM telah menghantar permohonan menyertai Barisan Nasional dan masih menunggu keputusan gabungan tersebut.
Pada 14 Ogos lalu, Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid dilaporkan berkata, parti itu mampu meraih sokongan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum ke-15 dengan kekuatan 200,000 ahli di 162 bahagian seluruh negara. – Malaysiapost

