Pengutip buah sawit lumpuh mohon bantuan

0
1

Ben Ibrahim

SEJAK awal bulan ini, nasib keluarga Mohd Hairol Yusof berubah selepas diserang angin ahmar sebelum disahkan lumpuh.

Dia yang bekerja sebagai pengutip buah kelapa sawit, kini hanya terlantar di rumah keluarganya di FELDA Bukit Goh, dekat Kuantan, Pahang.

Mohd Hairol berusia 43 tahun yang mempunyai seorang anak hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Rozilawati Ismail, 42 tahun.

Rozilawati ketika ditemui di kediaman mereka memberitahu, suaminya itu pernah mengadu sakit kepala sebelum keadaan kesihatan bertambah serius.

“Awal bulan Julai, saya dah hantar dia untuk pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selepas memaklumkan sukar angkat tangan kiri selepas solat Zohor.

“Selepas pemeriksaan dilakukan, doktor cakap ada darah beku pada bahagian otak suami, jadi terpaksa menjalani pembedahan.

“Proses (pembedahan) dilakukan dua minggu lalu dan sejak itu, suami memang tak boleh buat apa-apa, hanya terlantar saja di rumah dan pertuturan dia juga terbatas,” katanya.

Dia yang sebelum ini bekerja di kantin sebuah politeknik di Kuantan, terpaksa berhenti kerja untuk menjaga suaminya.

Katanya, keluarga mereka tidak mempunyai sumber pendapatan lain dan sangat mengharapkan bantuan dan sumbangan daripada orang ramai.

“Kos untuk rawatan suami mencecah RM1,500 sebulan, ini termasuklah bagi menyediakan (membeli) susu khas dan lampin pakai buang.

“Selain itu, anak kami kini sedang belajar di Universiti Malaysia Terengganu dan memang keadaan kami sangat sukar ketika ini.

“Kalau ada yang sudi bantu, hulurkan sikit sumbangan untuk beli susu dan lampin pakai buang untuk suami, saya dah bersyukur sangat,” katanya lagi.

Rozilawati berkata, dia juga sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Zakat Pahang.

Katanya, permohonan sudah dibuat dan keluarganya kini sedang menunggu keputusan daripada agensi berkenaan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai keluarga Mohd Hairol dan Rozilawati boleh menghubungi mereka di talian 01110899937.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun bank milik Rozilawati Ismail (Maybank 156226364921). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here