Remaja maut terperangkap dalam kebakaran gara-gara gurauan

0
2

PADAH bergurau dengan rakan akhirnya mengundang tragedi, apabila seorang remaja lelaki ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah tandas awam di Bandar Puncak Alam, Sungai Buloh, petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan jam 2.35 petang dan apabila tiba di lokasi didapati api telah padam serta menemukan Muhamad Damin Mikhail Kansol, 16, yang rentung di tandas awam.

“Bomba seterusnya mengeluarkan mangsa dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, hasil maklumat saksi dan dua rakan kepada mangsa, mereka bertiga dipercayai melepak dan bermain pemainan video di dalam tandas tersebut manakala mangsa sedang tidur di atas sofa di hadapan pintu tandas.

Norazam berkata, rakan mangsa dipercayai telah menyalakan api di bawah sofa dengan niat untuk bergurau namun setelah asap tebal dan api semakin besar, dua rakan mangsa telah lari ke luar tandas.

“Mangsa yang tersedar daripada tidur berada dalam keadaan separa sedar kemudian melarikan diri ke dalam tandas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini, polis buka sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat. – Malaysiapost

Kredit foto: Kosmo Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here