PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menggesa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) untuk segera menyiasat nahas membabitkan dua wanita dengan bas RapidPenang.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, masa depan dua wanita itu terjejas hanya kerana kelalaian pemandu bas tersebut.
“Justeru, Kementerian Pengangkutan perlu segera bertindak dan menyiasat nahas itu kerana membabitkan syarikat bas milik kerajaan.
“Pemandu kenderaan pengangkutan awam yang membahayakan nyawa orang lain sepatutnya dikenakan hukuman berat, sama seperti pemandu mabuk,” katanya menerusi Facebook.
Pada 1 Ogos lalu, media melaporkan dua wanita yang terbabit kemalangan dengan bas RapidPenang, berhadapan dengan masa depan yang suram susulan kecederaan yang dialami.
Maizatul Abdullah yang berusia 27 tahun dan bekerja kilang elektronik di Bayan Lepas kini bergelut untuk kembali berjalan dan terpaksa mengenakan pendakap leher.
Nahas itu mengakibatkan ibu tunggal anak tiga itu patah beberapa tulang rusuk, kecederaan pada paru-paru, hati, pecah lutut, selain mengalami patah pada hidung dan tulang pipi.
Maizatul juga retak tengkorak sekali gus mengalami kecederaan otak. Dia berada selama 15 hari di unit rawatan rapi (ICU).
Manakala, guru tadika, Lau Su Lan, 26, dan teman lelakinya, Voon Chi Cun, 29, tersepit dalam kenderaan mereka selepas kereta dinaiki terbalik atas pembahagi jalan ketika bas terbabit hilang kawalan lalu masuk ke laluan mereka.
Su Lan, yang memandu kereta mengalami pecah tempurung lutut dan patah empat tulang paha, selain patah siku.
Hentakan di kepalanya menyebabkan kecederaan di otak sehingga berdepan masalah hilang ingatan. – Malaysiapost

