MOTAC sasar 9.2 juta kedatangan pelancong

0
1

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan 9.2 juta kedatangan pelancong dengan anggaran 26.8 bilion pendapatan bagi tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia berdasarkan sasaran awal bagi pemulihan kembali sektor pelancongan selepas menerima kesan teruk akibat penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, impak pemulihan itu membuahkan hasil apabila negara menerima kedatangan 3.21 juta membabitkan nilai pendapatan sebanyak RM9.35 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai 2022.

Katanya, pencapaian ini berjaya dihasilkan melalui beberapa inisiatif utama yang dilakukan oleh MOTAC semenjak pembukaan semula sempadan negara pada 1 April yang lalu.

“Justeru, berdasarkan pencapaian tersebut, MOTAC telah menyemak semula sasaran baru ketibaan pelancong dan pendapatan bagi suku tahun ke-4 iaitu kemasukan sebanyak 9.2 juta dengan nilai pendapatan pelancongan sebanyak 26.8 bilion.

“Unjuran terbaharu ini dibuat berdasarkan pelbagai usaha secara agresif yang dilakukan oleh MOTAC dalam mengadakan misi penggalakkan pelancongan di luar negara bagi menarik minat pelancong datang ke Malaysia.

“Selain itu, dengan pembukaan semula pintu sempadan negara Brunei bermula pada 1 Ogos 2022 yang lalu, dijangkakan dapat meningkatkan lagi jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nancy berkata, MOTAC yakin sasaran ini dapat dicapai berdasarkan situasi semasa perkembangan positif industri pelancongan yang mana lebih banyak negara melonggarkan syarat keluar dan masuk.

“Dengan perkembangan ini juga, MOTAC berharap sektor pelancongan negara dapat dipulihkan dengan segera dan kembali menjadi antara sektor penyumbang utama pendapatan negara.

“Untuk rekod, pada 2019, sebelum negara dilanda pandemik Covid-19, sektor pelancongan mencatat kadar ketibaan pelancong tertinggi iaitu 26.1 juta orang yang menyumbang pendapatan sebanyak RM86.1 bilion.

“Sasaran ini diharap dapat menaikkan semangat semua penggiat industri untuk bekerja lebih kuat bagi memastikan ianya berjaya dicapai dan sektor pelancongan negara kembali berdaya saing,” katanya.

Tambahnya, beliau turut berharap semua penggiat industri pelancongan dan rantaian perniagaan yang berkaitan dapat bersama-sama dengan MOTAC bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai.

“Usaha yang berterusan harus dipergiatkan lagi bagi memastikan hala tuju dan masa depan sektor pelancongan dan kebudayaan negara terus berdaya saing, mampan dan lestari.

“Ini sesuai dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Destinasi Lestari, Kaya Budaya’ menjelang tahun 2030 dapat menjadi realiti seperti yang digariskan dalam Dasar Pelancongan Negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here