PENGUNJUNG Jalan Tuanku Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Jalan TAR berpeluang menonton persembahan ‘busker’, melukis portrait dan mengukir inai yang berlangsung setiap Ahad dari 6 pagi hingga 12 tengah malam.
Tarikan itu adalah salah satu inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menggalakkan budaya berjalan kaki dalam kalangan warga kota.
DBKL dalam hantaran di Facebook berkata, jalan dari persimpangan Jalan Esfahan hingga ke persimpangan Jalan Melayu akan ditutup daripada semua kenderaan, dalam tempoh tersebut.

“Pelbagai persembahan seni seperti busker, potrait, inai, pelbagai kiosk serta ruang rehat akan memenuhi sepanjang laluan ini bagi memberikan suasana baharu di jalan ini.
“Tidak lupa, disediakan juga ruang untuk anak-anak kecil beriadah dan bermain dengan pengawasan petugas,” katanya.
Menurutnya, DBKL berhasrat untuk menjadikan Jalan TAR sebagai satu destinasi keluarga yang wajar dikunjungi dengan lebih selesa, santai dan selamat.
“Ayuh…kita kunjungi Jalan TAR bersama keluarga…lepak-lepak pun boleh…jommm,” ujarnya. – Malaysiapost

