Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit tawar peluang pekerjaan 

0
2

KARNIVAL Kerjaya Dan Keusahawanan Wanita Bangkit anjuran Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi fokus kepada aktiviti penjanaan pendapatan golongan wanita dengan menghubungkan mereka kepada platform yang menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan atau keusahawanan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, melalui platform ini, golongan wanita dapat memperkasa ekonomi diri, dan keluarga menerusi peluang-peluang kerjaya, perkongsian ilmu pengetahuan, pengurusan kewangan, kemahiran, termasuk kepimpinan kendiri bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan.

Katanya, realiti hari ini menunjukkan kegagalan menguruskan ekonomi menjadi salah satu faktor kegagalan dan keruntuhan institusi rumah tangga. 

“Ia juga menyumbang kepada pelbagai masalah seperti pengabaian tanggungjawab berkaitan nafkah, pendidikan anak-anak, hutang yang tinggi dan sebagainya. Isu ekonomi keluarga sebagai satu perkara yang perlu diselesaikan, atau sekurang-kurangnya ditambah baik. 

“Justeru itu menerusi inisiatif Program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM ini dianjurkan di beberapa negeri seluruh Malaysia bagi memberi peluang wanita yang juga merupakan tonggak keluarga berdikari dari segi pendapatan dan turut menyumbang kepada ekonomi keluarga.

“Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM diunjurkan dapat membantu wanita dalam mengatasi cabaran pasca pandemik. Inisiatif ini terbahagi kepada dua kaedah; iaitu menerusi sektor formal dan tidak formal,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis perasmian karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM diadakan di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, hari ini.

Rina berkata, melalui sektor formal, pelbagai pameran kerjaya dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TalentCorp Malaysia dan organisasi penempatan pekerjaan lain.

“Menerusi Sektor Tidak Formal pula, peserta-peserta dihubungkan kepada pelbagai peluang perniagaan dan keusahawanan daripada Kerajaan seperti Mamacare, program selepas bersalin oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, sektor swasta seperti Maxis (penyedia telekomunikasi) untuk penganjuran e-Kelas Usahawan dan NGO.  

“Selain itu bantuan geran MyKasih Kapital sebanyak RM500 juga disediakan untuk memulakan perniagaan dengan modal kecil dalam bidang e-dagang dan perniagaan kecil-kecilan yang bukan di bawah skim di Kementerian Keusahawan,” katanya.

Tambahnya, Wanita Bangkit@KPWKM telah berjaya menghubungkan dan memberi peluang pekerjaan kepada 47,000 wanita dalam kedua-dua sektor formal dan informal dan menyediakan pengetahuan berterusan khususnya dalam pengurusan kewangan. 

Justeru, beliau turut berharap program ini dapat meningkatkan semangat golongan wanita untuk mengikutinya dan peserta yang  berjaya mampu untuk membimbing wanita yang lain juga. 

Program ini akan berlangsung dilokasi seterusnya, iaitu di zon Sabah di Suria Sabah Shopping Mall pada 23 hingga 25 September 2022 dan Pusat Dagangan Terengganu pula pada 6 hingga 8 Oktober 2022. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here