UMNO akan mengemukakan petisyen bagi memohon pengampunan diraja untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia adalah antara tiga tuntutan bagi mengangkat perjuangan membela bekas Presiden Umno itu.
“Kita mesti bersedia, memberi sokongan kepada kempen petisyen pengampunan apabila tiba masanya.
“Kita serahkan kepada kebijaksanaan kebawah duli yang maha mulia Yang di-Pertuan Agong untuk menilai dan melaksanakannya kelak.
“Menjadikan tulisan Facebook Najib sebagai bacaan untuk kita terus ‘like dan share’. Ia adalah senjata Umno dan perlu digilap dan digunakan sentiasa. Jadikan pemikiran dan semangat tulisan ini sebagai senjata hidup Umno untuk terus memerangi musuh-musuh politik kita,” katanya ketika menyampaikan taklimat khas Presiden Umno di ibu negara hari ini.
Terlebih dulu dua anak Najib Datuk Nizar Najib dan Nooryana Najwa turut diberi ruang berucap pada sesi taklimat berkenaan.
Minggu lalu Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib yang menyaksikan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta terhadap bekas Presiden Umno itu berhubung penyelewengan dana SRC International dikekalkan.
Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimum Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Najib.
Keputusan itu menyaksikan Najib memulakan hukuman penjara selama 12 tahun bermula Selasa lalu.
Sementara itu, Ahmad Zahid menggesa barisan kepimpinan Umno di setiap peringkat supaya sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan diadakan pada bila-bila masa.
“Kemenangan besar BN adalah pengukuhan kepada obor-obor perjuangan Najib untuk parti dan negara.
“Kami percaya, kerajaan kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak akan membiarkan harapan ini pudar sekiranya tarikh PRU dilengahkan,” katanya.- Malaysiapost

