Remaja tekup muka kekasih dengan bantal hingga mati

0
2

SEORANG remaja lelaki ditahan selepas dipercayai membunuh seorang wanita dengan menekup muka mangsa dengan bantal di sebuah rumah di Kampung Pandan, Klang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata remaja berusia 19 tahun itu ditahan di tepi jalan berdekatan lokasi kejadian yang dalam usaha untuk melarikan diri.

Menurutnya, kaunter aduan Balai Polis Klang pada jam 9.12 malam Rabu lalu menerima aduan daripada seorang wanita tempatan menyatakan kenalannya iaitu remaja berkenaan meminta bantuan untuk mengambilnya di Kampung Pandan, Klang kerana telah menekup muka teman wanitanya menggunakan bantal sehingga tidak sedarkan diri.

“Polis kemudian ke lokasi kejadian dan menemui mangsa iaitu seorang wanita berusia 24 tahun dalam keadaan terbaring di atas katil di sebuah bilik rumah berkenaan.

“Pemeriksaan tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat pada 9.20 malam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya menahan suspek warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

“Suspek berusia 19 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa ingin memutuskan hubungan dengan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas pakaian yang digunakan oleh suspek semasa kejadian dan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian juga menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Majistret Mahkamah Klang telah meluluskan reman ke atas suspek selama tujuh hari iaitu sehingga 31 Ogos ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here