MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, menegaskan tiada ahli keluarganya yang terbabit dalam perniagaan melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).
Ahli Parlimen Mersing dari Bersatu itu, turut sekali lagi menafikan Zainab Mohd Salleh adalah isterinya seperti dakwaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
“Salam Jumaat yang penuh barakah penghulu segala hari. Semoga apa saja yang kita lakukan hari ini membawa kebaikan buat semua dan beroleh keberkatan dari Yang Maha Esa.
“Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Mohd Salleh,” katanya di Facebook, hari ini.
Secara sinis, beliau mengaku menjadi wakil rakyat dari kawasan laut dan pulau namun bukanlah ‘jerung besar’ seperti didakwa.
“Tiada ahli keluarga saya yang terlibat dalam bisnes melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS.
“Sebagai wakil rakyat dari kawasan laut dan pulau (Mersing)…saya suka makan ikan… tapi bukan ‘ikan jerung.
“Siakap senohong gelama ikan duri,
Cakap bohong lama lama jadi pencuri,
Siakap senohong gelama ikan jerung,
Cakap pembohong tak lama mati jadi jerangkung,” katanya.
Terdahulu, Rafizi menegaskan mengenai kebenaran pendedahannya berhubung seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh, yang didakwanya terbabit dalam isu penyelewengan dana projek LCS.
Menurutnya, siasatan dalaman menyebut Zainab adalah isteri Abd Latiff. – Malaysiapost

