“TERLALU banyak kebaikan Datuk Seri Najib Razak untuk diceritakan,” kata pelakon Fizo Omar.
Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar berkata kebaikan bekas Perdana Menteri itu turut dinikmati rakyat Malaysia sepanjang sembilan tahun menerajui negara.
“Beberapa kali saya berpeluang bekerjasama dengan DS Najib, terlalu banyak kebaikannya untuk diceritakan dan terima kasih saya ucapkan di atas jasa dan pengorbanan beliau,” katanya di Facebook.
Bagaimanapun Fizo menegaskan soal betul atau tidak Najib terbabit dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC) hanya Ahli Parlimen Pekan itu sendiri yang tahu.
“Kita semua rakyat Malaysia berada di bawah undang-undang yang sama dan tidak ada kelebihan berdasarkan jawatan, pangkat mahupun kuasa.
“Soal kebenaran di atas apa yang dilakukan hanya tuan badan dan Allah yang mengetahui dan kita sebagai rakyat biasa hanya disajikan dengan laporan dari media dan tidak sepatutnya terus menghina dan menghukum,” katanya.
Selain itu, Fizo berpendapat situasi yang sedang dihadapi oleh Najib bukanlah untuk diraikan tetapi memandang ia dari sudut yang berbeza dimana ada mesej yang tersirat untuk kita semua.
Menurutnya, perkara itu telah menjadi sejarah penting negara di samping dapat membuka mata semua pihak selain merupakan amaran keras khususnya kepada ahli politik yang lain.
“Ini menunjukkan Malaysia mempunyai undang-undang dan sesiapa pun tidak terkecuali di bawah undang-undang negara,” katanya.
Isnin lalu Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu, sekaligus menjadikan Najib bekas Perdana Menteri yang pertama dipenjarakan. – Malaysiapost

