Azeez Rahim masuk hospital, Mahkamah Rayuan tangguh keputusan

0
1

MAHKAMAH Rayuan hari ini menangguhkan sekali lagi keputusan rayuan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi membatalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya.

Memetik laporan Berita Harian, penangguhan itu susulan Ahli Parlimen Baling berkenaan kini sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menangguhkannya selepas pihak pembelaan memaklumkan mengenai perkara itu.

Pada 1 Julai lalu, pembelaan memohon keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji itu bagi membatalkan tuduhan berkenaan di Mahkamah Rayuan, ditangguhkan.

Peguam, Amer Hamzah Arshad, berkata ia bagi memberi ruang dan masa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap penemuan fakta serta bukti baharu kes itu yang diserahkan oleh pihaknya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Abdul Azeez, 54, menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 serta dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here