‘Khemah Besar’ ditolak kerana Muhyiddin nak jadi PM kali kedua – Mukhriz

0
2

DATUK Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatur gerakan untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua melalui strategi ‘Khemah Besar’ dengan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, Muhyiddin berhasrat menggabungkan PN dengan PH serta beberapa parti lain seperti Pejuang, Parti Warisan (Warisan) serta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), dan menawarkan dirinya sebagai Perdana Menteri gabungan itu.

Beliau yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, cadangan itu disuarakan Muhyiddin ketika pertemuan dengan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad empat hari selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Muhyiddin datang berjumpa Tun (Dr Mahathir). Saya ada di situ. Dia tak ada nak minta maaf, dia cakap Khemah Besar yang dia cuba usahakan antara PN dan PH, dan jika berjaya boleh disusuli Warisan, Pejuang dan MUDA.

“Dia (Muhyiddin) kata dah tiga kali jumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bila Anwar tanya struktur kepimpinan Khemah Besar, Muhyiddin kata Anwar tak boleh jadi Perdana Menteri sebab dia ketuai parti campuran, jadi Muhyiddin jadi Perdana Menteri.

“Ini satu syarat yang begitu besar untuk lantik dia jadi Perdana Menteri. Kalau ikhlas, sepatutnya bincang mengenai gabungan dulu tapi bila datang dan tawar jadi Perdana Menteri kali kedua, rasa tak sesuai sangat,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Temu Mesra Bersama Rakyat di Parlimen Hulu Langat, malam tadi.

Mukhriz berkata, persetujuan Pejuang tidak memberi kesan kerana hanya ada empat kerusi Parlimen sahaja, namun jika PH setuju, maka jadilah cadangan itu dan seperti dijangka PH juga tidak bersetuju.

Mengulas lanjut, Mukhriz memaklumkan beliau ketika itu mengharapkan cadangan gabungan yang lebih mengetengahkan barisan pemimpin muda dalam pelbagai parti, manakala pemimpin senior sebagai penasihat.

“Harapan saya ketika itu supaya pemimpin senior berpengalaman diangkat dalam majlis penasihat atau ‘Council of Elders’, manakala lapisan kedua diisi pemimpin muda yang tiba masanya diberi peranan penting dalam pembentukan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mukhriz mengakui Pejuang ada mempertimbang untuk bergabung bersama beberapa parti lain seperti PH, Pas, PKR serta Umno, namun akhirnya memutuskan untuk mewujudkan Gerakan Tanah Air (GTA).

Beliau berkata, ramai ahli Pejuang tidak boleh menerima Bersatu, manakala Umno masih tidak berubah sikap dan masih kekal seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, Pas pula masih terus mempergunakan agama untuk kepentingan parti, manakala ramai akar umbi Pejuang menolak kerjasama dengan PH kerana DAP, selain enggan kisah pahit dengan PKR berulang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here