Kerajaan dituntut batalkan konsert artis luar negara

0
2

PAS akan memainkan peranan melalui anggota Kabinet untuk memastikan konsert-konsert daripada artis antarabangsa yang dijadualkan dapat dibatalkan kerana ia tidak bersesuaian dengan norma-norma dan nilai hidup umat Islam di Malaysia.

Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata pihaknya juga tidak teragak-agak untuk menggerakkan tentangan di seluruh negara jika ia tidak diendahkan.

Menurutnya, bagi pihak Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), beliau sangat mengharapkan agar kerajaan melalui menteri-menteri berkaitan menimbangkan untuk membatalkan dan menarik semula kebenaran untuk konsert-konsert ini berlangsung.

“Masa yang tidak sesuai, nilai yang dibawa tidak bersesuaian dan bertentangan dengan Islam sebagai agama persekutuan. Pihak kami tidak teragak-agak untuk menggerakkan tentangan di seluruh negara jika ia tidak diendahkan.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tenaga perseorangan yang prihatin dengan isu ini kita seru untuk bangkit bersama, jangan dibiarkan budaya hedonisme menular dan menjalar ke dalam masyarakat.

“Mohon gerakkan usaha bantahan ini agar ia sampai ke Seri Perdana Putrajaya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mendoakan mereka yang beragama Islam, namun berperanan sebagai penghalang dalam usaha membatalkan konsert artis antarabangsa itu, sama ada dengan tindakan mahupun dengan kata-kata, agar mendapat hidayah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here