Kewarganegaraan anak lahir luar negara, perlu diberi perhatian

0
1

ISU anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing namun tidak layak mendapat kewarganegaraan Malaysia secara automatik, disifat isu kritikal yang perlu diberi perhatian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata isu berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat mengenai kewarganegaraan yang di pengerusikannya hari ini.

Beliau berkata, ia melibatkan perkara di bawah Perlembagaan Persekutuan bahawa kanak-kanak ini tidak diberikan kewarganegaraan secara automatik.

“Sebaliknya mereka perlu menghantar permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia di bawah peruntukan 15(2) Perlembagaan Persekutuan, di mana ia suatu proses yang mengambil masa yang lama.

“Susulan perkara itu, ahli mesyuarat membincangkan masalah yang dihadapi pihak terjejas dengan terperinci daripada pelbagai aspek, termasuk implikasi seperti ‘dual citizenship’.

“Maka, ahli mesyuarat sebulat suara bersetuju bahawa ini adalah isu kritikal yang mesti diberi perhatian,” katanya dalam mesyuarat yang diadakan di Putrajaya.

Mesyuarat berkenaan dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM, Datuk Abd Shukor Mahmood dan Peguam Cara Negara II, Datuk Siti Zainab Omar.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chua Choon Hwa dan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, sebuah jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan untuk mengkaji solusi dan mekanisme terbaik untuk menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh.

“Bagaimanapun, adalah penting untuk menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum isu ini dapat diketengahkan dan dibawa ke Majlis Raja-Raja,” katanya.

Pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak untuk mendapat kewarganegaraan negara ini secara automatik.

Penghakiman yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini dibuat secara keputusan 2-1.

Panel hakim terbabit turut memutuskan mana-mana anak plaintif yang telah mendapat kewarganegaraan selepas keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, kewarganegaraan itu kekal sehingga kes itu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagi permohonan-permohonan plaintif yang masih diproses, permohonan tersebut perlu `dibekukan’ sehingga kes dimuktamadkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here