PELAKSANAAN projek naik taraf capaian Internet di premis Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi fasa satu dijangka bermula hujung tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya sedang menunggu jumlah peruntukan yang akan diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MOF).
“Keperluan untuk menyediakan kemudahan Internet terutama bagi tabika yang terletak di pedalaman merupakan usaha untuk memastikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika KEMAS berjalan lancar.
“Seterusnya menjadi aspirasi kepada pembangunan bakat awal kanak-kanak,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis Penutup Ekspo Buku Malaysia dan Anugerah Buku Negara 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Mahdzir berkata, kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus dengan MOF bulan depan bagi membincangkan mengenai peruntukan dan kaedah pelaksanaan projek berkenaan.
Pada Mei lalu, Mahdzir dilaporkan berkata kementeriannya akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi memastikan capaian Internet di premis Tabika KEMAS di seluruh negara lebih baik.
Katanya, perbincangan juga telah diadakan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini berhubung projek meningkatkan capaian Internet di 11,000 premis Tabika KEMAS. – Malaysiapost

