SEJAK pendedahan mengenai Zainab Mohd Salleh sebagai isteri Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dalam Laporan Forensik Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS), sehingga kini tiada penafian berhubung kenyataan itu.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, berkata satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan Abd Latiff adalah penafian bahawa Zainab Mohd Salleh isterinya, namun sebaliknya laporan forensik LCS menunjukkan sebaliknya.
“Dengan tiadanya penafian atau kenyataan balas menafikan individu dinamakan itu isterinya, rakyat boleh membuat kesimpulan bahawa pendedahan saya itu benar. Lagi pun, perkara ini dinyatakan secara bertulis dalam Laporan Forensik LCS.
“Sejumlah besar kontrak Alizes Marine Limited (syarikat palsu yang ditubuhkan untuk menyelewengkan dana) dengan kontrak kapal LCS adalah untuk membekalkan alat-alat gantian (“spare parts”) kapal.
“Syarikat ini dilantik dengan memberi gambaran bahawa ia berkaitan dengan sebuah syarikat Perancis (Alizes Marine France) yang mempunyai lesen pengeksport alat gantian pertahanan dari Kerajaan Perancis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi berkata Laporan Forensik Projek LCS telah mendedahkan bahawa syarikat palsu itu tidak pun mempunyai lesen pengeksport alat-alat gantian pertahanan seperti yang didakwa.
Katanya, lebih teruk sesetengah barangan yang dibekalkan adalah yang biasa boleh dibeli di pasar raya atau kedai serbaneka seperti air mineral, puting kapas telinga, kain-kain kecil untuk mencuci, kipas dan sebagainya.
“Perenggan 2.6.20 Laporan Forensik Projek LCS mendedahkan: ‘Purchase Order (PO) yang dikeluarkan kepada Alizes Marine mengandungi sesetengah barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian Depot.
“Ini menunjukkan tahap penyelewengan dan penipuan yang berlaku dalam proses perolehan,” katanya.
Menurutnya, kontrak untuk membekalkan kononnya alat-alat gantian kapal yang diberikan kepada Alizes Marine melibatkan pembayaran sekitar RM210 juta setakat tahun 2011 ke 2015.
Beliau berkata, dengan tiadanya penafian dari Abd Latiff atau fakta-fakta yang menolak pendedahan setakat ini, sudah sampai masanya tindakan politik diambil terhadap Menteri daripada Bersatu itu.
“Ada dua tindakan bermaruah yang perlu disegerakan, pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memecat Dr. Latiff dari jemaah menteri
“Kedua, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) perlu memaklumkan secara rasmi kepada Perdana Menteri yang Bersatu membuat keputusan supaya Dr. Latiff digantikan dengan calon lain dari Bersatu di dalam jemaah menteri
“Ini satu ujian penting untuk menilai adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu benar-benar ikhlas menentang rasuah, seperti tulisan beliau yang mengambil kredit atas penghukuman kes SRC baru-baru ini,” katanya. – Malaysiapost

