Dari hotel 7 bintang ke penjara, ini masa sukar buat Najib – Anwar

0
2
anwar ibrahim

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menghadapi masa yang sukar untuk menjalani hukuman penjara, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mempunyai pengalaman hampir sedekad dipenjarakan.

Presiden PKR itu percaya Ahli Parlimen Pekan itu mungkin mendapat layanan dan kemudahan yang lebih baik berbanding apa yang diterimanya sepanjang dua kali pemenjaraan.

Namun menurut Anwar, ia masih tidak memadai memandangkan gaya hidup mewah Najib sebelum ini.

“Saya rasa Najib… daripada apa yang saya faham daripada rakan pegawai penjara saya yang lama, Najib akan diberi layanan yang lebih baik dalam erti kata (beliau) akan diberikan beberapa kemudahan.

“Tetapi tetap, penjara bukanlah tempat tidur yang selesa.

“Ia adalah sukar, terutamanya jika dibandingkan dengan gaya hidupnya sekarang dari hotel 7 bintang untuk mengalami sesuatu yang sangat sukar dan sulit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan CNBC ketika diminta mengulas mengenai hukuman penjara terhadap Najib.

Anwar menghabiskan hampir enam tahun di penjara selepas disabitkan empat kesalahan berkaitan rasuah pada 1999, iaitu semasa era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 2015, Anwar dipenjarakan sekali lagi, kali ini semasa pentadbiran Najib, selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dia dibebaskan pada 2018 selepas menerima pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Mengimbas kembali pengalamannya, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata penggal pertamanya semasa era Mahathir adalah ‘lebih sukar’, termasuk telah dinafikan sebarang akses kepada buku dan lawatan keluarga pada peringkat awal pemenjaraannya.

“Malah ketika (pentadbiran) Najib, saya telah dihumban ke dalam lokap biasa sambil tidur berminggu-minggu di atas lantai, tanpa mengambil kira masalah tulang belakang saya atau umur saya,” katanya.

Selasa lalu, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here