POLIS Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas 36,700 pil ecstasy dan 1.164 kilogram (kg) dadah jenis syabu melalui Op Otto yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim, berkata dua serbuan dijalankan di sekitar ibu negara bermula jam 10 malam 22 Ogos hingga 12.35 tengah malam 23 Ogos lalu.
Menurutnya, dalam serbuan 8tu seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun berjaya ditahan bersama sejumlah dadah jenis pil ecstasy dan syabu.
“Serbuan pertama pada jam 10.45 malam Isnin lalu di Jalan Vista Mutiara, Kepong berjaya menahan suspek berkenaan dan merampas 383.80 gram (1,000 biji) pil ecstasy yang dianggarkan bernilai RM18,000 dan 123.87 gram syabu bernilai RM12,300.
“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan Seksyen 135 Akta Kastam 1967, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lanjutan daripada serbuan pertama it, JSJN Kuala Lumpur menjalankan serbuan susulan dengan dipandu arah oleh suspek di Jalan Perkasa 3, Bukit Jalil pada jam 12.35 tengah malam Selasa lalu.
“Serbuan kedua membawa kepada rampasan 13.59kg (34,700 biji) pil ecstasy dianggarkan bernilai RM642,600 dan 1.04kg syabu bernilai RM36,000.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM708,900 membabitkan 36,700 pil ecstasy dan 1.164kg syabu yang mampu menampung penggunaan seramai 39,028 pengguna dadah,” katanya.
Azmi berkata, sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak empat bulan lalu dengan menjadikan kondominium yang dikawal pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah untuk mengaburi serta menyukarkan dikesan pihak berkuasa.
“Bekalan dadah diperolehi daripada pengedar dadah tempatan untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan suspek tiada pekerjaan tetap dengan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan sindiket dadah lain yang terbabit dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 29 Ogos ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan berkenaan adalah hasil siasatan dan risikan rapi oleh JSJN Kuala Lumpur dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah. – Malaysiapost

