Petik nama saya untuk alih isu Najib’ – Syed Saddiq

0
1

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berpendapat ramai pemimpin Umno cuba mengalihkan perhatian berita mengenai Datuk Seri Najib Razak dengan kes mahkamah dihadapinya.

Ahli Parlimen Muar itu, menegaskan beliau tidak akan melengah-lengahkan kes dihadapi dan menyerahkan mahkamah memutuskan nasibnya kelak.

“Kes saya, biar mahkamah putuskan. Cuma saya boleh jamin beberapa perkara sepanjang kes mahkamah saya berjalan. Saya janji tidak akan melengah-lengahkan kes mahkamah saya.

“Sehingga hari ini, belum ada masalah dari pihak saya seperti peguam jatuh sakit, saya hidap Covid-19 (harap tak akan jangkit), ada anjing gigit tangan dan sebagainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengingatkannya mengenai pertuduhan mahkamah membabitkan pecah amanah dan pengubahan wang dana RM1.12 juta milik Bersatu yang dihadapinya.

Menurut Syed Saddiq, beliau tidak akan memberi pelbagai alasan untuk menangguhkan kes dihadapinya seperti pemimpin politik lain yang kini turut dihadapkan ke mahkamah.

“Saya tak akan minta mahkamah lapangkan tarikh pendengaran kes saya untuk buat umrah. Ya, pasport saya kini dipegang oleh mahkamah sepanjang kes. Kalau saya minta passport pun, saya pastikan ia tidak bertindih dengan tarikh pendengaran.

“Ini hal yang saya boleh jamin lah. Berani kerana benar. Saya nak takut apa kalau saya tidak bersalah, bukan? Nak jamin dan yakinkan orang Umno bahawa saya tidak bersalah – mestilah mereka tak terima,” katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta Asyraf Wajdi memberi respon kepada penulisannya mengenai pemimpin Umno yang dikatakan meminta bantuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam kes Najib.

“Sampai berkumpul untuk nyatakan suara mereka di pejabat Umno. Kalau tak betul, apa pula reaksi kamu dengan laporan media dalam insiden ini? Saya tunggu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here