Keadilan tertangguh – Tun M

0
1

PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan Datuk Seri Najib Razak mengambil masa terlalu panjang sehingga menyebabkan banyak kes rasuah ahli politik lain tertangguh.

Menurutnya, disebabkan kes SRC bekas Perdana Menteri itu mengambil masa empat tahun, maka banyaklah kes-kes pencurian, salah guna kuasa, rasuah yang melibatkan tokoh-tokoh politik lain tertangguh dan tidak dihadap ke mahkamah.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, terdapat penjenayah yang telah pun meninggal dunia disebabkan keadaan itu kerana kelewatan perbicaraan akan menghasil keadilan terabai.

“Ada pepatah Inggeris yang berkata “justice delayed is justice denied” yang boleh kita terjemah sebagai keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai.

“Sekarang Najib dibicara berkenaan kes lain yang juga akan mengambil masa yang panjang. Saya percaya hakim-hakim juga kurang senang dengan begitu banyak kes tertangguh.

“Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dengan peguamnya. Bermacam alasan diguna untuk menghalang perbicaraan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mendakwa, ketika ini banyak laporan dibuat berkenaan kes-kes rasuah yang serius yang belum dibicarakan dan besar kemungkinan penjenayah akan terlepas dari dihukum kerana jenayah yang dilakukan oleh mereka.

“Benarlah seperti pepatah Inggeris bahawa keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai.

“Bagi Najib besar kemungkinan ia akan diampun setelah dipenjara,” katanya.

Kes SRC dihadapi Najib bermula pada 3 Julai 2018, selepas beliau ditahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta dan dibawa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Beliau kemudiannya didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Pada 28 Julai 2020 Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Najib bagaimanapun gagal dalam rayuan akhirnya apabila panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos lalu, mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Keputusan berkenaan sekaligus melakar sejarah negara apabila Perdana Menteri keenam Malaysia itu menjadi bekas Perdana Menteri yang pertama dipenjarakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here