Netizen tersentuh lihat air mata Mizz Nina

0
2

BIARPUN disifatkan wanita yang kuat, penyanyi Mizz Nina tetap menitiskan air mata ketika menjadi jemputan sebuah forum keagamaan, baru-baru ini.

Menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok, kelihatan Mizz Nina menyeka air mata ketika berkongsi kata-kata dengan jemputan di forum itu.

Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 42, dalam suara tersekat-sekat berbicara mengenai ujian diberikan Allah SWT terhadap setiap hamba-Nya. Mengambil contoh, wanita yang kehilangan suami.

“Dalam kesenangan kita bersyukur. Dalam kesukaran kita bersabar. Dan sekiranya kita boleh bersyukur dalam kesukaran, Subhanallah.

“Kita kena beringat sentiasa ada sesuatu yang berlaku. Allah meminta doa dalam tiga cara, sama ada akan memakbulkan, memberikan musibah atau simpan untuk di syurga kelak.

“Dan teruskan berdoa dan beribadah. Walaupun doa tidak dimakbulkan, tetapi doa akan ditulis sebagai satu ibadah untuk akhirat. Jadi, jangan bersedih dan terus berdoa,” katanya.

Menerusi hantaran dimuat naik di laman Instagram (IG), Mizz Nina juga berkongsi, dia nyaris membatalkan kehadirannya ke majlis itu.

“Ada momen saya berfikir adakah mahu membatalkannya. Sebab mungkin saya tidak bersedia berdepan dengan penonton di persidangan secara langsung yang besar.

“Saya gembira tidak menyerah kepada pemikiran negatif dan memutuskan untuk hadir, terus berjalan ke hadapan dan menganggapnya sebagai satu proses penyembuhan,” katanya.

Mizz Nina yang juga aktivis kemanusiaan berkata, ia adalah satu permulaan baik selepas apa yang dilaluinya.

“Saya bersyukur dengan peluang ini. Alhamdulillah. Saya meninggalkan majlis dengan hati lebih lembut dan penuh, mengetahui Allah menyayangi saya dan mahukan terus melakukan apa yang ingin saya buat, insya-Allah.

“Saya ada banyak perkara yang perlu diusahakan. Dengan diri, hati, ibadah dan kemahiran saya berhubung pertuturan serta pembentangan.

“Saya tak tahu apa yang dirancang untuk saya, tetapi saya tahu ia adalah yang terbaik buat saya. Saya tidak akan membiarkan syaitan berseronok melihat saya duduk diam dan tidak melakukan dakwah,” katanya.

Mizz Nina dan Noh Salleh yang telah berkahwin selama 11 tahun mengumumkan perpisahan mereka selepas sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, awal bulan lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here