10 bas dari Pekan beri sokongan pada Najib

0
2

PEKARANGAN Mahkamah Persekutuan hari ini dipenuhi dengan penyokong Datuk Seri Najib Razak bagi turut serta mengikuti perkembangan prosiding rayuan akhir bekas Perdana Menteri itu berhubung kes SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hari ini berlangsung sesi mendengar hujahan peguam Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, jika peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakilinya tetap enggan berhujah, maka panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mungkin membuat keputusan serta-merta, hari ini.

Media tempatan melaporkan pekarangan mahkamah telah dipenuhi dengan penyokong kuat Ahli Parlimen Pekan itu sejak awal pagi tadi.

Dikatakan sejumlah 10 buah bas dari Pekan Pahang, membawa penyokong Najib yang mula bergerak jam 12 tengah malam tadi.

Najib, Perdana Menteri Keenam dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia diheret ke mahkamah.

Beliau pada 28 Julai 2020 didapati bersalah tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib terhadap kesemua tujuh pertuduhan dihadapinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here