DATUK Seri Najib Razak mengambil langkah terbaharu dengan membuat permohonan agar Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada panel Mahkamah Persekutuan bagi mendengar rayuan akhirnya.
Peguam utamanya Hisyam Teh Poh Teik memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan telah memfailkan permohonan itu semalam.
“Ia dibuat dengan penuh rasa hormat berdasarkan isu perundangan.
“Arahan kami terima adalah untuk memfailkan permohonan ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Sementara itu, Hisyam berkata, beliau tidak akan mengemukakan hujahan kecuali berhubung isu perwakilan peguam.
Hari ini berlangsung sesi mendengar hujahan peguam Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.
Bagaimanapun, jika peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakilinya tetap enggan berhujah, maka panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun mungkin membuat keputusan serta-merta, hari ini.
Najib pada 28 Julai 2020 didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib terhadap kesemua tujuh pertuduhan dihadapinya. – Malaysiapost

