KEPUTUSAN rayuan akhir bekas Perdana Menteri Datuk Seri najib Razak bagi mengetepikan sabitan dan hukuman berkaitan dana SRC International Sdn Bhd, dijangka diumumkan di Mahkamah Persekutuan, hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu berdepan cabaran dalam rayuan terakhirnya itu apabila permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu ditolak, selain peguamnya enggan membuat sebarang hujahan bagi rayuan berkenaan.
Jumaat lalu peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik, memaklumkan panel lima anggota Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bahawa tiada hujahan lisan akan dikemukakan.
Najib dalam satu hantaran terbarunya di Facebook pagi ini berkongsikan ayat al-Quran dari surah Al-Imran.
“Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung (Surah Al-Imran 3:173),” tulisnya.
Bekas Presiden Umno itu mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana SRC International. – Malaysiapost

