Abd Latiff nafi Zainab Mohd Salleh isterinya

0
2

MENTERI Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad menafikan wanita bernama Zainab Mohd Salleh seperti didedahkan Rafizi Ramli berkaitan penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS) adalah isterinya.

Pemimpin Bersatu itu juga menegaskan beliau sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika perlu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek LCS, saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.

“Sebagai anggota Kabinet, saya bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu hari ini Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR mendakwa isteri kepada menteri dalam barisan Kabinet antara salah seorang pemilik syarikat yang didakwa menyeleweng dana projek LCS bernilai RM1.7 bilion.

Beliau berkata, semakan dengan pangkalan data Paradise Papers mengesahkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited dimiliki wanita bernama Zainab Mohd Salleh, isteri kedua kepada Abd Latiff.

“Zainab Mohd Salleh ialah isteri kedua kepada Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Semasa skandal ini berlaku, beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing merupakan pemimpin Umno sebelum menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum 2018.

“Laporan siasatan dalaman projek LCS juga secara jelas menyebut bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri kepada Dr Latiff Ahmad.

“Muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 laporan menyebut ‘It is noted that Abdul Latiff is the spouse of Zainab’ yang bermaksud ‘Siasatan mengambil maklum bahawa Abdul Latiff adalah suami kepada Zainab’,” katanya.

Rafizi berkata, Abdul Latiff adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013, dan ketika itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Menteri Pertahanan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here