Jangan kaitkan Umno dalam penyelewengan LCS

0
1

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri

SAYA membaca dakwaan Rafizi Ramli kononnya isteri Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad terlibat dalam penyelewengan dana projek pembinaan kapal LCS.

Ada dua isu yang ingin diulas; Pertama:

Dakwaan terbaru Rafizi itu memerlukan siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa sama ada SPRM mahupun PDRM. Jadi dalam hal ini kita serahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terlebih dahulu.

Sejak awal lagi Pemuda Umno Malaysia tidak kompromi sebarang salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan. Namun ia harus dibuktikan dengan siasatan komprehensif dan bukannya setakat dakwaan sahaja.

Kita ada prosedur dan undang-undang, maka biarkan proses itu berjalan.

Kedua: Jangan mengaitkan dakwaan penyelewangan itu dengan Umno. Sebarang salah laku isteri mahupun Dr Abdul Latif, jika ada terbukti benar, tiada sebarang kaitan dengan Umno. Itu tindakan beliau secara peribadi.

Rafizi jangan mengheret Umno dalam isu berkenaan. Jangan menimbulkan naratif persepsi seolah Umno terbabit dan kenyataan Rafizi sekali gus menafikan dan menolak bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku menteri dan Datuk Seri Najib Razak Perdana Menteri ketika itu terlibat dalam penyelewengan projek berkenaan.

Lagipun sejarahnya Dr Abdul Latif telah melompat keluar dari Umno menyertai Bersatu/PH selepas itu. Kita turut hairan kenapa isu ini disenyapkan di era kerajaan PH selama 22 bulan? Adakah kerana Dr Latiff telah menjadi sebahagian dari kerajaan PH ketika itu dengan melompat ke parti PPBM menyebabkan rahsia keterlibatan beliau dan isteri didiamkan?

Rentetan pendedahan ini juga menunjukkan secara jelas bahawa Ahli Parlimen yang melompat ke parti Bersatu adalah kerana mereka mempunyai ‘skeleton in the cupboard’ dan isu integriti maka terbukti bahawa wujudnya tawaran serta elemen rasuah dan ugutan bagi mereka melompat supaya kes kes mereka ini disenyapkan dan tidak diambil tindakan.

Hakikatnya pendedahan Rafizi telah membuka tembelang dari segi cara dan gaya kerajaan PH dan pimpinan dalam PN melaksanakan kerja mereka. Jika ada perkara merugikan imej parti mereka walaupun ianya salah maka akan didiamkan. Sebaliknya jika ada perkara yang menguntungkan maka akan dihebahkan secara besar besaran. Jika inilah kaedahnya maka negara tidak lagi berada dalam kondusif.

Jelas, baik PH mahupun PN mereka bersekongkol untuk menyahkan kebenaran dan melindungi penipuan serta kerja kotor mereka selama ini.
.
Penulis ialah Pengarah Komunikasi Pemuda Umno

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here